PETALING JAYA: Sekumpulan pelajar sekolah yang menunggang basikal lajak secara berbahaya dikenakan denda ketuk ketampi dalam sekatan jalan raya di sekitar ibu negara, kelmarin.
Kesemua 21 remaja berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam, ketika sekatan jalan raya dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bersama
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan boleh diambil terhadap mereka di bawah peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 iaitu sekatan terhadap penunggang basikal.
Tambahnya, tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagaimanapun, seorang pegawai kanan JSPT Kuala Lumpur bersama seorang pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit.
“Remaja itu diberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas di sekatan jalan raya itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kumpulan remaja terbabit telah disuraikan dengan peringatan supaya tidak menunggang basikal secara berbahaya dan diarahkan pulang ke rumah masing-masing.
“Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.
“Pendekatan budi bicara seperti ini mampu memberi kesedaran kepada remaja untuk memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, advokasi yang dilakukan bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda untuk memperbaiki diri tetapi juga mengelakkan risiko kemalangan atau kecederaan yang lebih serius di masa hadapan.
“Langkah itu membuktikan bahawa pendidikan dan kesedaran boleh menjadi alat yang lebih berkesan dalam mendisiplinkan remaja, berbanding sekadar hukuman,” katanya.
Dalam pada itu, JSPT turut menasihatkan golongan muda agar tidak melakukan kesalahan lalu lintas dan menunggang secara berbahaya demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Ibu bapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan lebih besar dengan memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.