KUBANG PASU: Sejak beberapa tahun lalu, Mohamad Nazir Saad, 48, sering merasa sakit kepala hingga mengganggu kerja hariannya sehinggalah pada Ogos lalu, apabila dia diserang sawan.
Dia dibawa menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan di bahagian kepalanya yang dikhuatiri kanser otak dan memerlukan perhatian lanjut.
Katanya, hakikat itu menjejaskan kehidupannya kerana menyebabkan kudratnya menjadi lemah sehingga tidak boleh lagi mengambil upah untuk melakukan kerja-kerja kampung.
“Bukan setakat sakit kepala, malah ketika ini ingatan dan penglihatan saya juga mula berkurang. Difahamkan ketumbuhan itu semakin membesar menyebabkan saya semakin lemah. Akibat kesempitan hidup, saya terpaksa jual sembilan ekor kambing yang dipelihara di tepi rumah sebelum ini.
“Lagi pun, saya sudah tiada kudrat untuk membelanya kerana tak mampu lagi guna mesin rumput untuk memberi makan kambing-kambing itu,” katanya ketika menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cancer Survivors Malaysia (CSM) di sini semalam.
Sementara itu isterinya, Nor Hasniza Mohd. Tahir, 38, berkata, ketika ini mereka sekeluarga hanya bergantung kepada hasil jualan kuih secara kecil-kecilan yang dibuatnya sendiri dengan pendapatan bulanan sekitar RM500, selain sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan.
Katanya, dia juga mengalami masalah kesihatan setelah disahkan mempunyai masalah jantung, kolesterol serta darah tinggi sejak lima tahun lalu.
“Kadang-kadang saya tak berdaya untuk buat kuih selain terpaksa berulang alik ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk rawatan. Dalam keadaan sekarang, kami sentiasa mendahulukan keperluan tiga anak yang berusia 14, 11 dan tujuh tahun bagi memastikan pelajaran mereka tidak terabai,” katanya.
Katanya, sebelum ini doktor pernah memaklumkan yang suaminya mungkin perlu menjalani pembedahan yang menelan belanja RM70,000.-UTUSAN.