KUALA NERUS: Seorang warga emas buntu apabila banglo miliknya yang bernilai RM600,000 berisiko runtuh akibat hakisan pantai yang semakin kritikal di Batu Rakit di sini.
Mohd. Yazid Idris, 66, yang berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah itu dibina pada 2018 menggunakan wang persaraannya untuk menghabiskan sisa hidup di tepi pantai kerana pemandangan di situ yang cantik.
“Kami sekeluarga mencipta banyak kenangan manis di banglo ini sebelum isteri meninggal dunia pada 2016.
“Namun, masalah hakisan menjadi semakin teruk dan berisiko menyebabkan saya kehilangan banglo ini yang menjadi lambang cinta buat arwah isteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tanjung Batu Rakit, di sini, semalam.
Mohd. Yazid berkata, dia kini bergotong-royong bersama anaknya Nur Shahera, 32, dan menantu, Nor Qusairi Noor Rashid, 32, untuk menambak sendiri kawasan banglo itu menggunakan guni pasir.
“Setakat ini, saya dah berhabis dalam RM8,000 namun tidak tahu apakah cara ini dapat menyelamatkan banglo ini.
“Harapan saya agar pihak berkuasa dapat membantu untuk langkah penyelesaian jangka masa pendek agar banglo ini dapat terus didiami dengan selamat,” katanya.-UTUSAN.