KUANTAN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah keputusan Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pendekatan baharu untuk Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dengan menggantikan sistem kamera statik kepada teknologi point-to-point.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, perkara itu tidak membantu menyelesaikan isu membabitkan keselamatan jalan raya sebaliknya membebankan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Pendekatan baharu ini sebenarnya lebih kepada untuk mengaut hasil daripada rakyat, bukan menyelesaikan isu keselamatan jalan raya seperti pematuhan had laju.
“Sebagai contoh, apabila rakyat diambil tindakan menerusi AwAS, banyak perkara tersekat seperti tidak dapat memperbaharui lesen dan cukai jalan. Mahu tidak mahu, individu disaman perlu membayarnya walaupun duit yang ada cukup-cukup makan sahaja, akhirnya yang terbeban dan terkesan adalah rakyat sendiri.
“Sepatutnya kerajaan memikirkan atau melaksanakan sesuatu yang cakna rakyat seperti memudahkan tuntutan insurans kemalangan dan mengurangkan kadar insurans. Rakyat dibebankan harga insurans mahal, tapi bila hendak buat tuntutan, timbul pelbagai masalah. Ini patut jadi keutamaan kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pendekatan baharu untuk AwAS dengan menggantikan sistem kamera statik kepada teknologi point-to-point bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan kelajuan kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan sebagai berkata, sistem baharu ini akan mengukur kelajuan purata kenderaan di antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.
Loke berkata, pendekatan tersebut dianggap lebih berkesan berbanding sistem statik, yang mana kamera hanya memantau kelajuan pada satu lokasi tertentu sahaja.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan seharusnya menggariskan dasar lebih menyeluruh dan konkrit bagi menangani isu keselamatan jalan raya termasuk berhubung tuntutan insurans kemalangan dan kadar harganya.
“Soal kebajikan rakyat perlu diutamakan dan rakyat juga perlu terus dididik untuk benar-benar berdisiplin dalam pemanduan serta pentingnya menyelenggara kenderaan dalam keadaan baik.
“Pemanduan laju semata-mata bukan punca kemalangan, tetapi sikap dan disiplin memandu, fokus dan kesegaran dalam memandu dan tidak cuai serta keadaan kenderaan yang baik adalah elemen hubung kait yang penting dalam memastikan pemanduan selamat,” ujarnya. – UTUSAN