SHAH ALAM: Lima atlet yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menerima diskaun eksklusif pembelian kenderaan utiliti sukan (SUV) daripada Chery Malaysia.
Pemenang pingat emas menerima diskaun sebanyak 50 peratus manakala atlet yang mara ke akhir dan separuh akhir pula ditawar 30 peratus melibatkan tawaran tiga model SUV berharga lebih RM100,000 iaitu iaitu Tiggo 8 Pro, Omoda 5 dan Omoda E5 (kenderaan elektrik).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau menghargai sumbangan pihak swasta yang menyokong kerajaan bagi pembangunan sukan negara.
“Chery sebelum ini hanya menawarkan habuan dan diskaun khas kepada atlet bagi program ‘Road to Gold’ (RTG). Namun, syarikat itu kini turut memberi fasiliti tambahan berkenaan kepada atlet paralimpik negara yang tidak termasuk dalam RTG.
“Ini merupakan sumbangan pihak swasta yang bebas untuk membuat tawaran dan kita amat mengalu-alukannya demi kemajuan sukan negara,” katanya pada majlis penyerahan kenderaan itu, hari ini.
Pada September tahun lalu, kontinjen Malaysia menamatkan saingan temasya Paralimpik di tangga ke-42 dengan meraih lima dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Kilauan emas itu digondol jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori 72 kilogram (kg) lelaki.
Pingat perak pula disumbangkan Datuk Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam kategori F20 (kecacatan intelektual).
Gangsa tunggal negara dimenangi seorang lagi atlet olahraga, Eddy Bernard dalam acara 100 meter.
Sementara itu, Liek Hou, 38, berkata dia membeli Omoda E5 bagi kegunaan untuk menjalani latihan rutin badminton.
“Saya sememangnya sudah lama mahu menggunakan EV yang lebih mesra alam dan juga sesuai digunakan untuk keluarga saya. Justeru, tawaran diskaun ini amat dinantikan dan saya berterima kasih kepada Chery kerana turut menghargai sumbangan atlet paralimpik,” ujarnya.
Sebelum ini, atlet negara Lee Zii Jia dan pasangan regu Aaron Chia Soh – Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa, dilapor mendapat habuan pertama susulan meraih pencapaian membanggakan dalam sukan badminton yang menyaksikan mereka bertiga bakal memenangi hadiah lumayan.
Habuan tersebut diberikan oleh Chery yang mengumumkan ketiga-tiga atlet negara itu akan membawa pulang sebuah Chery Tiggo 7 Pro sebagai salah satu ganjaran selepas mencipta kejayaan mengukir nama dalam temasya berprestij itu.
Selain itu, Chery Malaysia turut menjanjikan hadiah SUV Chery Tiggo 8 Pro kepada mana-mana atlet yang dapat menyumbang pingat emas sulung kepada negara dalam temasya tersebut. – UTUSAN