LANGKAWI: ASEAN tidak bercadang untuk menyingkirkan sementara keahlian Myanmar walaupun negara itu masih belum mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) iaitu menghentikan keganasan dan penindasan terhadap rakyatnya.
Sebaliknya, ASEAN mahu meneruskan pendekatan untuk mengadakan dialog dengan Myanmar berdasarkan konsensus yang diperkenal sejak 2021 bagi mengembalikan kestabilan dan keamanan ke negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara anggota ASEAN sedang berusaha untuk memastikan kestabilan serta keamanan dikembalikan ke Myanmar dengan kerajaan yang diperintah oleh rakyat.
“ASEAN tidak berhasrat untuk menyingkir sementara (keahlian) Myanmar. Konsensus Lima Perkara adalah asas rundingan yang perlu dipatuhi oleh Myanmar.
“Ian sangat mudah, menghentikan keganasan, membenarkan akses bantuan kemanusiaan dan mengadakan dialog dengan rakan ASEAN,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini, hari ini.
5PC dipersetujui pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada April 2021, dua bulan selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi.
Antara kandungannya adalah penghentian segera keganasan; mengadakan dialog antara semua pihak; pelantikan utusan khas; membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.
Menurut Mohamad, 5PC adalah asas untuk Myanmar kembali menjadi sebuah kerajaan yang demokratik sepenuhnya dan sebagai sebuah negara ASEAN, Myanmar perlu mematuhi kesepakatan itu sebagai tanggungjawab negara.
“Bagi memastikan 5PC dipatuhi Myanmar dengan dialog berterusan bersama negara ahli, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim dilantik Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai negara itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, wakil Myanmar ada memaklumkan hasrat negara itu untuk mengadakan pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, ASEAN melihat pilihan raya bukanlah keutamaan sebaliknya kepatuhan terhadap 5PC iaitu menghentikan keganasan di negaranya.
“Ya, mereka mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya, tetapi pilihan raya itu perlu inklusif. Ia tidak boleh diadakan secara tertutup. Ia perlu melibatkan semua segmen pihak berkepentingan.
“Namun, mengadakan pilihan raya secara tertutup yang hanya mewakili pihak tertentu dalam sektor masyarakat di Myanmar, saya rasa itu bukan keutamaan. Keutamaan sekarang adalah hentikan keganasan dan kembalikan keamanan di negaranya,” katanya. – UTUSAN