LANGKAWI: ASEAN sedia bekerjasama dengan China dalam membanteras sindiket perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi, di rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN dan China sememangnya sudah bekerjasama dalam pelbagai aspek termasuk jenayah rentas sempadan.
Katanya, walaupun sindiket perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi tidak membabitkan China, namun ASEAN sedia bekerjasama dalam membanteras jenayah itu.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan China dalam membanteras jenayah ini. China sudah pun bekerjasama dengan ASEAN menyelesaikan isu scammer dan jenayah rentas sempadan,” katanya pada sidang akhbar selepas Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Luar China, Wang Yi, menawarkan kerjasama dengan negara ASEAN dalam memerangi perjudian dalam talian rentas sempadan dan penipuan telekomunikasi.
Wang menyatakan perkara itu dalam pertemuan dengan diplomat dari 10 negara ASEAN di Beijing, seperti dilaporkan sebuah portal.
Wang menekankan insiden membimbangkan baru-baru ini mengenai perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar yang mengancam keselamatan warganegara China.
Beliau turut menggesa negara yang terlibat untuk mengambil tanggungjawab dan melaksanakan langkah-langkah tegas bagi menangani jenayah itu secara tuntas.-UTUSAN.