PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan memastikan tahap kebersihan di daerah ini berada dalam keadaan baik dan landskap yang cantik susulan Port Dickson terpilih menjadi satu daripada lokasi berlangsungnya mesyuarat Kepengerusian ASEAN.
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd. Hamid berkata, salah sebuah hotel di daerah ini juga terpilih untuk menjadi lokasi berlangsungnya mesyuarat penting tersebut pada Oktober nanti selama beberapa hari.
“Satu kawasan sahaja terlibat dan kami telah bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk pastikan kebersihan, landskap, jalan raya dan keindahan pantai sentiasa dalam keadaan cantik serta bersih.
“Ini keutamaan kami termasuk memastikan sampah-sarap dibersihkan di kawasan pantai lebih-lebih lagi selepas pengunjung berkelah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan MPPD perlu memastikan tahap kebersihan di kedua-dua daerah berkenaan diuruskan dengan baik bersempena dengan kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bermula bulan ini.-UTUSAN.