LANGKAWI: Negara-negara ASEAN menyatakan harapan mereka agar dunia menjadi lebih stabil dan aman di bawah kepimpinan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang kembali memimpin negara kuasa besar itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN mengakui bahawa kepimpinan Trump mampu memberi sumbangan besar dalam mencipta suasana global yang lebih sejahtera.
“ASEAN berharap di bawah kepimpinan Trump, dunia akan lebih stabil dan aman, serta menghargai usaha-usaha yang dijalankan dalam memperkukuhkan hubungan antara negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini, hari ini.
Kerjasama antara negara ASEAN dan Amerika Syarikat penting untuk memastikan perdamaian di rantau Asia-Pasifik, yang kini menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik dan ancaman keselamatan global.
Dalam pada itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN menyambut baik pelan gencatan senjata serta perjanjian pembebasan tebusan dan tahanan di Gaza.
Mohamad berkata, rancangan itu memberikan peluang untuk meredakan ketegangan dan mengutamakan nyawa orang awam yang tidak bersalah.
“Bagaimanapun, situasi di Gaza masih berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya.
Terdahulu, Israel dan Hamas bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata termasuk pembebasan puluhan tebusan yang ditahan di Gaza dan ratusan tahanan Palestin di Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke United Kingdom turut menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Beliau berkata, gencatan senjata itu adalah langkah kritikal yang akan memberikan kelegaan yang sangat diperlukan bagi penduduk Gaza yang telah menanggung penderitaan yang amat besar.
Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia yang selama beberapa dekad memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin akan menyalurkan bantuan untuk pembinaan semula Gaza. – UTUSAN