PETALING JAYA: Memperjuangkan nasib golongan miskin dan rentan dalam negara adalah usaha berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak bergelar mahasiswa pada 1974.
Pengarah Eksekutif IDE Research Centre, Amidi Abdul Manan, berkata dedikasi Anwar dalam isu ini turut diiktiraf Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Muhammad Yunus, ketika menjadi panel dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, yang juga dihadiri Anwar, baru-baru ini.
Jelasnya, kenyataan penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006, Prof. Muhammad Yunus di Forum Ekonomi Dunia berhubung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah bukti nyata komitmen Anwar dalam memperjuangkan nasib kumpulan rentan miskin di Malaysia.
“Ketika menjadi panel dalam sesi WEF bertajuk ‘ASEAN, Even Stronger Together’, Muhammad yang juga pengasas Grameen Bank menyebut Malaysia merupakan negara pertama yang mengadaptasi idea mikro kredit beliau melalui penubuhan AIM. Usaha ini dipelopori Anwar Ibrahim ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan ketika itu.
“Pada 1987, Anwar telah mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM), yang berada di bawah kementeriannya ketika itu, untuk menjalankan kajian mengenai kesesuaian konsep Bank Grameen di Malaysia.
“Kajian ini diketuai oleh Prof. Dr. Shukor Kassim dan Dr. Gibbon, yang akhirnya membawa kepada penubuhan AIM,” katanya dalam kenyataan.
Amidi berkata, berdasarkan rekod, perjuangan Anwar dalam membela golongan miskin juga telah bermula ketika beliau menjadi mahasiswa universiti lagi.
“Ketika itu beliau memimpin demonstrasi di Baling untuk membela nasib pekebun kecil getah yang terhimpit akibat kejatuhan harga getah pada 1974 sebagai pemimpin mahasiswa.
“Pada 1985 pula, memperlihat Anwar memperkenal Pasar Tani sebagai usaha memerangi penindasan orang tengah terhadap petani miskin di luar bandar selaku Menteri Pertanian,” katanya.
Amidi turut menyentuh definisi ihsan yang diberikan oleh Anwar dalam buku Membangun Negara Madani yang diterbitkan pada 2022.
“Ihsan adalah perasaan mendalam untuk menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha mencari jalan untuk mengatasinya,” katanya.
Tambah beliau, kerangka Madani merupakan kemuncak pengalaman Anwar selama empat dekad dalam perkhidmatan awam serta belasan tahun berfikir tentang masa depan negara.
Madani bukan sekadar slogan tetapi manifestasi kasih sayang dan taat setia seorang pejuang terhadap negaranya,” katanya.