PETALING JAYA: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland membawa mesej bahawa ASEAN mempunyai potensi yang besar.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata, Malaysia memberi penekanan terhadap keistimewaan rantau itu termasuk dalam bidang ekonomi dan perdagangan pada sesi WEF 2025.
“Ia sama ada berdagang secara intra (ASEAN) dan juga perdagangan sebagai sebuah kekuatan dengan Amerika Syarikat (AS), China, Eropah dan BRICS.
“Kita menyatakan ASEAN dengan hampir 700 juta penduduk, mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pesat dan rantau yang lebih aman itu mempunyai potensi besar,” katanya pada sidang media penutup sempena lawatan kerja beliau ke WEF 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, selain potensi perdagangan dan ekonomi, ASEAN juga ingin memberi tumpuan kepada isu transisi tenaga selain isu seperti asas pendidikan, teknologi makanan, kesalinghubungan serta digital.
“Tumpuan kita selain asas pendidikan dan teknologi makanan adalah transisi tenaga, dengan grid dari Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia ke Filipina. Ini suatu yang agak berlainan, satu kemajuan luar biasa,” katanya.
Anwar menghadiri WEF 2025 buat kali pertama selepas mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF, Prof. Klaus Schwab.
Lawatan kerja ke Davos itu merupakan destinasi terakhir dalam siri lawatan kerja beliau merangkumi empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Belgium dan terakhir di Switzerland.
Lawatan selama tiga hari ke WEF 2025 itu, Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.