PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara United Kingdom (UK) untuk lawatan kerja selama lima hari ke negara yang merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah.
Lawatan ini dibuat atas jemputan rakan sejawatnya, Keir Starmer dan merupakan kunjungan pertama Anwar ke UK sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sepanjang lawatan berkenaan.
Pada Rabu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Starmer untuk menilai kemajuan hubungan bilateral Malaysia-UK dan membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan serta pelaburan.
Mereka juga dijangka membincangkan perkara berkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan.
Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan UK sebagai rakan dialog ASEAN.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan menekankan keutamaan Malaysia serta usaha ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan global.
Semasa di London, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Speaker House of Commons Sir Lindsay Hoyle, serta menyampaikan ucaptama di InvestMalaysia.
Beliau juga akan mengadakan sesi meja bulat dan perniagaan langsung dengan pemimpin industri serta merasmikan Auditorium Malaysia di London School of Economics (LSE) dan diikuti dengan syarahan khas.
Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jawatankuasa Ekonomi dan Perdagangan Bersama Malaysia-UK dan Mekanisme Sokongan Lain (MUKJETCO) akan ditandatangani semasa lawatan ini.
Anwar juga akan menghadiri pelancaran projek ladang solar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) Malaysia dan pelancaran produk oleh YTL Group UK serta melawat ke Stesen Janakuasa Battersea yang merupakan pelaburan terbesar Malaysia yang melibatkan dana awam di Eropah.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan lawatan ke UK ini menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara serta memberi peluang kepada Malaysia dan UK untuk memperkukuh kerjasama dua hala demi manfaat bersama.
Perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama dalam hubungan Malaysia-UK, dengan UK menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan nilai dagangan berjumlah AS$3.34 bilion (RM15.30 bilion).
Jumlah eksport direkodkan sebanyak AS$1.71 bilion (RM7.83 bilion), manakala jumlah import adalah AS$1.63 bilion (RM7.47 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.
Pada 19 Januari pula, Perdana Menteri akan berlepas ke Brussels untuk meneruskan penglibatan antarabangsa beliau.