Anwar mahu projek LRT Laluan Mutiara diurus dengan bersih, cekap, telus - Utusan Malaysia

Anwar mahu projek LRT Laluan Mutiara diurus dengan bersih, cekap, telus

ANWAR Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, di Jalan Lebuh Pinang 1, Jelutong, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menguruskan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dengan cekap, disertai tadbir urus yang baik tanpa sebarang muslihat dan ketirisan seperti era-era terdahulu.

Anwar berkata, beliau percaya proses pembinaan Projek LRT Laluan Mutiara itu dapat dipercepatkan sekiranya MRT Corp mengekalkan rekod syarikat itu yang telus dan bersih.

“Saya harap MRT Corp dapat kekalkan rekod mereka, telus, bersih, cekap dan diurus dengan baik tanpa muslihat dan ketirisan seperti mana kita tahu di era lalu yang penuh dengan karenah.

“Jadi, saya harap LRT Laluan Mutiara akan dapat disegerakan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang, di sini hari ini.

Susulan kelulusan Kabinet dan pembiayaan kerajaan Persekutuan untuk Projek LRT Laluan Mutiara pada Mac 2024, MRT Corp telah dilantik sebagai pemaju projek dan pemilik aset. MRT Corp juga akan mengurus pelaksanaan pelbagai pakej untuk projek ini.

Projek Laluan LRT Mutiara akan merangkumi jarak sejauh 29.5 kilometer, dengan 21 stesen yang terletak secara strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR-A).

Menurut Anwar, pembangunan infrastruktur dan kemodenan Pulau Pinang perlu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek budaya dan identiti unik negeri itu.

Beliau berkata, Pulau Pinang memiliki keunikan tersendiri yang harus dipelihara, terutamanya dalam soal pembangunan Tapak Pesta Sungai Nibong yang bakal terlibat dengan jajaran projek LRT Laluan Mutiara.

“Orang Pulau Pinang ini sangat sentimental. Mereka mahu kemajuan, tapi dalam masa yang sama mereka ingin kekalkan elemen lama yang mencerminkan identiti negeri.

“Jadi, sebarang pembangunan perlu diselaraskan supaya modernisasi ini selari dengan nilai budaya dan seni unik Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas isu berkaitan Tapak Pesta Sungai Nibong, Anwar berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pelbagai pandangan daripada rakyat, termasuk cadangan untuk menyelamatkan sebahagian kawasan tersebut.

“Saya telah minta dan saya percaya Ketua Menteri berbincang bagaimana boleh kita membuat sedikit penyesuaian sekiranya perlu, untuk menyelamatkan kalau tidak sepenuhnya, sebahagian daripada Tapak Pesta.

“Saya boleh beri jaminan perkata ini akan diberi pertimbangan yang serius,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau turut memberi jaminan kerajaan akan mempercepatkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi memenuhi keperluan pelancongan dan industri yang semakin meningkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya