TENOM: Analisis forensik digital yang dilakukan Cybersecurity Malaysia tidak menemui sebarang rekod panggilan dalam telefon bimbit milik pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Demikian keterangan saksi ke-14, bekas Juruanalisis Forensik Digital Cybersecurity Malaysia, Muhammad Umar Shahbuddin, 33, dalam sesi pemeriksaan utama yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi.
Saksi memberitahu analisis forensik ke atas telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 20 tidak menemukan sebarang rekod panggilan sama ada panggilan telefon mahupun panggilan suara melalui aplikasi Whatsapp.
Walau bagaimanapun, berdasarkan keterangan bertulis yang dibacakan oleh saksi di mahkamah, terdapat sejarah komunikasi antara Ebit dan pengadu yang direkodkan dalam telefon bimbit Samsung Galaxy A31 iaitu telefon milik pengadu.
Saksi memberitahu terdapat 21 rekod panggilan telefon yang direkodkan dalam telefon bimbit milik pengadu.
Daripada jumlah itu, 15 panggilan telefon telah dibuat ke atas nombor milik Ebit manakala, lima panggilan diterima daripada Ebit dan satu panggilan tidak terjawab juga daripada nombor telefon pendakwah berkenaan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya kenapa tiada rekod panggilan melalui Whatsapp, saksi memaklumkan dia hanya memeriksa rekod panggilan telefon sahaja. Itu adalah arahan yang diberikan dalam borang permohonan yang dikemukakan Pegawai Penyiasat, Deputi Superitendan Noor Asyikin Shamsuri.
Namun, sekiranya rekod panggilan suara melalui aplikasi Whatsapp telah dipadam, pihak Cybersecurity tidak boleh mengesan panggilan berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, dia mengambil masa selama seminggu untuk menganalisis kedua-dua telefon bimbit berkenaan. Barang kes itu diterima pada 27 Oktober 2021 dan dikembalikan kepada pegawai penyiasat pada 26 November 2021.
Ebit berdepan berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Timothy Daut dan Kamarudin Mohmad Chinki.