Anak demam, Nurul Shuhada tidak hadir bicara - Utusan Malaysia

Anak demam, Nurul Shuhada tidak hadir bicara

Hafidz Shuhada
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 8 dan 13 Mei hadapan sebagai tarikh akhir untuk bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri hadir ke mahkamah berhubung kes pelakon, Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakannya, dua tahun lalu.

Majistret Nurul Izzah Hassan Basri memutuskan demikian selepas mendengar hujahan ringkas kedua-dua belah pihak berhubung ketidakhadiran wanita itu pada prosiding hari ini.

“Untuk hari ini, mahkamah tidak berhasrat memanggil saksi pendakwaan, pengadu (Nurul Shuhada) terlebih dahulu hadir untuk perbicaraan penuh. Mahkamah akan memberikan tarikh bicara akhir bagi mengelak ketidakdilan kepada tertuduh,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Nurul Shuhada untuk hadir perbicaraan selepas Jabatan Peguam Negara tetap ingin meneruskan kes walaupun wanita itu telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya berhubung kejadian pukul itu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan berkata, ketiadaan pengadu pada hari ini disebabkan oleh salah seorang anaknya yang dihalang menaiki pesawat dari Australia selepas disahkan demam.

“Seperti yang dinyatakan dalam surat yang saya failkan pada 17 Januari lalu, saya telah dimaklumkan bahawa pengadu dalam kes ini telah membeli tiket penerbangan dari Australia ke Malaysia.

“Namun, saya difahamkan bahawa anak pengadu ditahan di lapangan terbang kerana demam. Australia kini dilanda wabak Measles dan mana-mana individu yang mengalami gejala demam atau ruam dihalang menaiki pesawat. Oleh itu, pengadu terpaksa membatalkan tiket penerbangan tersebut kerana anaknya tidak dibenarkan menaiki pesawat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan bersedia untuk perbicaraan hari ini dengan kehadiran tiga orang saksi iaitu seorang jurugambar dan dua orang pegawai penyiasat.

Mendengar perkara itu, peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz membantah sekiranya pihak pendakwaan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan tanpa kehadiran pengadu.

“Tujuan mahkamah memerintahkan pengadu hadir hari ini adalah bagi memberi penjelasan berhubung laporan tarik balik kes. Apa yang meragukan sekiranya benar anak pengadu demam, di mana surat laporan perubatannya,” katanya.

Sementara itu, Akberdin turut membantah cadangan pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan pada hari ini kerana subjek dalam kes ini adalah pengadu (Nurul Shuhada).

“Justeru itu, saya mohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang keputusan atas permohonan yang dibuat secara lisan itu.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu (2023) mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya