RANTAU PANJANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mematahkan cubaan seorang lelaki menyeludup enam botol arak jenis wain semasa melakukan pemeriksaan rutin di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.
Rampasan itu dilakukan pada pukul 5.15 petang selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki oleh warga tempatan itu.
Jurucakap AKPS berkata, pada masa sama pihaknya turut merampas produk kosmetik, perubatan dan makanan hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihaknya.
Menurutnya, rampasan itu dianggarkan berjumlah RM165,500.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
“Kesemua barangan rampasan termasuk kereta telah diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN