BALIK PULAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap agar isu berkaitan penjualan makanan sandwic berlabel ‘Ham And Cheese’ yang diragui status halalnya di kedai serbaneka di sebuah universiti awam tidak lagi diperbesarkan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, ini kerana pihak rangkaian jualan runcit tersebut juga telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menarik penjualan balik makanan berkenaan.
“Saya harap isu ini tidak lagi diperbesarkan kerana pihak rangkaian jualan runcit itu telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menarik barangan itu.
“Mungkin ini satu kesilapan dan kita harap ia jadi satu pengajaran yang baik,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis penutup permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2025 di sini, hari ini.
Pada 10 Januari lalu, Universiti Malaya (UM) menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui halal.
Universiti itu dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, arahan penutupan tersebut dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan media mengesahkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual dalam premis di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
Menurut Ahmad Zahid, tindakan UM yang menutup serta-merta dua premis jualan runcit di kampus itu yang menjual sandwich ham adalah satu tindakan segera.
“Saya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal yang menjalin kerjasama dengan JAKIM telah melakukan beberapa saranan supaya perkara-perkara yang menyentuh soal agama ini harus dielakkan.
“Tentunya tindakan universiti itu yang menutup serta-merta dua premis jualan runcit di kampus itu adalah satu tindakan segera.
“Jadi, kita serahkan pada pihak Jakim sendiri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup serta polis untuk melakukan ‘follow through’ dan ‘follow up’ pada tindakan tersebut,” katanya. – UTUSAN