KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain, 65, meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ di sini semalam.
Pegawai khas kepada Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Azizul Nasry, memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.20 malam.
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas mengalami serangan jantung.
Jenazah Mohamad Hamsan akan disembahyangkan di Masjid Pangiran Batu 7, Sandakan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru Rancangan Sungai Manila hari ini.
Azizul memaklumkan orang ramai yang ingin menziarahi Allahyarham buat kali terakhir boleh berbuat demikian di Masjid Pangiran Batu 7 sebelum waktu solat Zuhur
Mohamad Hamsan berkhidmat sebagai ADUN Sungai Sibuga selepas memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Sebelum itu, kerusi DUN Sungai Sibuga disandang oleh bekas Ketua Menteri yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Selepas Musa memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN 2020, Mohamad Hamsan diberi kepercayaan oleh UMNO Sabah untuk bertanding mewakili Barisan Nasional di kerusi DUN Sungai Sibuga.-UTUSAN.