KLANG: Waris ahli keluarga yang dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, terkejut apabila kepuk kira-kira 90 kubur didapati sudah ditanggal dan dialihkan hari ini dipercayai untuk dipindahkan jenazah di sana bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Wakil waris, Hazlina Hasbullah, 49, berkata dia yang mahu menziarah kubur ahli keluarganya terkejut melihat kepuk itu ditanggalkan oleh kontraktor terlibat dan kerja- kera melibatkan 90 kubur itu dilakukan bermula kira-kira pukul 10 pagi.
“Proses pengalihan itu mengambil masa hampur dua jam dengan sebahagiannya masih sempurna. Kesemua kepuk itu kemudian diletakkan berdekatan pagar kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Pada 13 November tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan 48 waris dan ahli keluarga kekal membantah pemindahan kubur itu dan menyerahkan memorandum di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Seramai 90 waris pada Mei lalu mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan sepanjang pembinaan projek berkenaan.
Lebih mengecewakan, mereka turut tidak dibenarkan menghadiri proses pengalian dan pemindahan kubur itu dengan rata-rata jasad kurang daripada dua tahun.
Kerja penggalian dan pemindahan sebelum itu ditangguhkan seminggu bagi memberi ruang proses pemakluman dan pendengaran kepada 45 lagi waris.
Mengulas lanjut, kata Hazlina, pihaknya kesal kerana kerja itu dilaksanakan biarpun bantahan sudah dikemukakan.
“Selain itu, waris telah dimaklumkan bahawa kerja pemindahan kubur tetap diteruskan pada Isnin ini. Difahamkan, sebanyak 27 lot kubur terlibat dijangka dipindahkan pada setiap hari,” ujarnya.
Tambah beliau, peguam mewakili waris turut telah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada pihak terlibat bagi mengemukakan beberapa tuntutan baharu. – UTUSAN