TANAH MERAH: Kira-kira 83,000 daripada dua juta individu telah melunaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi tawaran inisiatif kadar kompaun khas tetap RM150 yang disediakan oleh agensi bermula 1 Januari hingga semalam.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hasilnya agensi itu telah berjaya mengumpul bayaran berjumlah RM1.25 juta.
Menurutnya, ia melibatkan tiga notis saman iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Tawaran ini sah sehingga bulan Jun, selepas itu ia akan kembali kepada kadar kompaun asal iaitu RM300.
“Saya harap mereka yang masih belum berbuat demikian dapat mengambil langkah segera untuk menyelesaikan tunggakan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Nyior Tanah Merah di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Aedy Fadly memberitahu, sekiranya individu yang menerima notis gagal membuat bayaran mereka disenarai hitam sehingga menjelaskan saman tersebut.
Katanya, selain itu individu terlibat tidak tidak boleh memperbaharui lesen, cukai jalan sehingga saman itu bayar.
“Pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kiosk JPJ serta aplikasi myJPJ.
“Pembayaran kompaun khas itu tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di pejabat Pos Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN