PETALING JAYA: Polis berjaya menyelamatkan lapan mangsa pemerdagangan manusia yang diperdaya dan dipaksa bekerja sebagai buruh ladang di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.
Serbuan yang dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 21 Januari lalu turut menahan 25 individu pelbagai warganegara atas pelbagai kesalahan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu memfokuskan usaha menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia dengan berpandukan Garis Panduan Kebangsaan Mengenai Petunjuk Pemerdagangan Manusia (NGHTI).
“Hasil serbuan sekitar pukul 12.30 tengah hari itu, seramai lapan lelaki warga Bangladesh berusia 27 hingga 47 tahun berjaya diselamatkan.
“Mereka diperdaya dan dipaksa bekerja sebagai buruh di ladang tanpa menerima gaji selama empat bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 32 dan 35 tahun yang dipercayai pemilik serta pembantu ladang di bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen.
“Dalam serbuan yang sama, 19 lagi individu warga asing turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk bekerja secara haram. Mereka terdiri daripada 10 lelaki warga Bangladesh, Myanmar (lima), Sri Lanka (tiga) dan seorang lelaki warga Indonesia,” katanya.
Menurut Soffian, ladang sayur berkeluasan 200 hektar itu telah diusahakan untuk tanaman kubis, bawang dan tomato.
“Keadaan muka bumi berbukit menyukarkan lagi operasi, namun pasukan berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang,” jelasnya.
Tambahnya, kes itu akan disiasat di bawah Akta ATIPSOM 2007, Akta Imigresen 1959/63 serta Kanun Keseksaan bagi memastikan dalang-dalang kegiatan berkenaan dibawa ke muka pengadilan. – UTUSAN