73,899 calon di Selangor mula duduki SPM 2024

73,899 calon di Selangor mula duduki SPM 2024

SPM Selangor
SERAMAI 342 calon SPM 2024 di SMK Seksyen 9 mengaminkan doa sebelum mereka melangkah masuk ke dewan bagi menduduki peperiksaan, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Selangor adalah seramai 73,899 melibatkan 494 pusat di 410 sekolah di kesemua sembilan daerah bermula hari ini hingga 6 Februari.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 970 pelajar berbanding 72,929 yang menduduki peperiksaan sama pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr. Jafri Abu berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 66,218 calon sekolah bantuan kerajaan, 2,640 calon sekolah swasta, 4,535 calon persendirian, 319 di institusi selain di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan 187 di sekolah menengah agama negeri.

Menurutnya, terdapat seramai 25 calon sehingga hari ini dikenal pasti menduduki peperiksaan tersebut dekat hospital di setiap daerah dan dua di penjara.

“JPN Selangor ingin mengingatkan semua calon yang menduduki peperiksaan SPM 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan juga JPN di seluruh negara termasuk di JPN Selangor,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau dan menyantuni seramai 342 calon menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 yang menempatkan dua pusat peperiksaan.

Kata Jafri, JPN Selangor juga memastikan pusat-pusat peperiksaan di seluruh negeri bebas daripada ancaman banjir sepanjang SPM 2024 berlangsung selain bersedia dengan langkah-langkah ditetapkan oleh KPM dari semasa ke semasa.

“Setakat di Selangor semua berada dalam keadaan baik, tak ada pusat-pusat peperiksaan yang terlibat dengan banjir. Maknanya, setakat ini alhamdulillah untuk Selangor, kalau ada kita sudah bersiap sedia dengan tindakan lanjut.

“Tak ada yang kita dapat maklumat daripada seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), semua bebas daripada banjir buat masa ini dan cuaca pun tidak seperti di Pantai Timur dalam keadaan Monsun Timur Laut (MTL),” jelasnya.

Katanya lagi, calon dinasihat memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana. – UTUSAN

 

Info SPM 2024 Selangor

73,899 calon SPM 2024 di Selangor:

  • 66,218 calon sekolah bantuan kerajaan
  • 319 calon sekolah selain Kementerian Pendidikan
  • 187 calon sekolah menengah agama negeri
  • 2,640 calon sekolah swasta
  • 4,535 calon persendirian pelbagai peringkat umur
  • 25 calon di hospital
  • 2 calon di penjara

Pentadbiran SPM 2024 di Selangor:

  • 410 sekolah terlibat
  • 494 pusat peperiksaan
  • 7,651 petugas termasuk guru dan sukarelawan
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya