SHAH ALAM: Hanya 69 bekas pekerja lima buah ladang di Bestari Jaya dikenal pasti layak menerima pemilikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, jumlah dan data terbaharu itu diperoleh menerusi pengesahan syarikat Berjaya Corporation apabila penerima mengemukakan bukti pekerjaan.
Menurutnya, dokumen berkenaan termasuklah penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), slip gaji dan bukti lain yang sah kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).
“Jika ada individu mendakwa sebagai bekas pekerja ladang, mereka perlu membuktikan kelayakan dengan mengemukakan dokumen berkaitan kepada LPHS bagi penilaian terperinci.
“Apabila dokumen itu disahkan, LPHS akan menghantar laporan kepada saya bagi proses kelulusan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan peralatan usahawan India Selangor (I-Seed), hari ini.
Utusan Malaysia pada Mei tahun lalu melaporkan masalah perumahan 245 keluarga peneroka lima ladang sejak 1998 selesai dengan pembinaan PPR jenis teres yang dijangka siap pada 2026.
Kesemua ladang itu adalah Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan projek itu melibatkan kos keseluruhan RM75 juta dengan RM35 juta daripadanya adalah daripada kerajaan negeri.
Berjaya Corporation telah memberi komitmen dengan penyediaan tanah seluas lapan hektar di Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya bagi pembangunannya.
Mengulas lanjut, Papparaidu menafikan beliau terlibat secara mutlak dalam penilaian bagi permohonan pemilikan rumah berkenaan.
“Orang ramai anggap saya yang menilai atau memilih. Saya ingin jelaskan tiada kena mengena dengan perkara itu. Laporan polis terhadap saya menyatakan saya telah memilih mereka (penerima rumah) itu adalah tidak benar,” ujarnya.
Tambah Papparaidu, terdapat beberapa siri perjumpaan bersama pekerja ladang bagi menangani isu tersebut.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut dijadualkan melawat projek itu pada bulan depan. Pembangunan projek itu memberi impak besar kepada komuniti setempat dengan kemudahan perumahan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN