MELAKA: Seramai 42 tok batin termasuk jekerah dan jenang bagi 14 perkampungan orang asli di negeri ini akan menerima skim perlindungan insurans termasuk khairat kematian bernilai RM30,000 setiap seorang bermula bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, anak-anak mereka juga diberikan kenaikan elaun secara sekali bayar (one-off) daripada RM50 kepada RM100 khusus untuk pelajaran.
Beliau berkata, skim perlindungan insurans yang diperluaskan kepada jekerah dan jenang serta kenaikan elaun anak-anak orang asli membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan masyarakat itu.
“Inisiatif perlindungan insurans ini penting kerana mereka juga memberi perkhidmatan yang penting dalam komuniti setempat termasuk menjaga kebajikan anak-anak buah mereka di kampung.
“Ini menandakan keprihatinan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang membuktikan tiada masyarakat orang asli yang tertinggal daripada segi kebajikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri 2025 di Lapang Sasar Kem Terendak, Sungai Udang di sini, hari ini.
Tambah Fairul Nizam, peranan ketua masyarakat orang asli di semua kampung amat penting selaku ejen dalam menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
“Kenaikan elaun pelajaran kepada anak-anak orang asli tahun ini dapat memberikan semangat untuk mereka terus cemerlang dalam pelajaran,” katanya. – UTUSAN