ARAU: Seramai 3,551 calon di 36 buah pusat seluruh negeri ini menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 3,435 merupakan calon sekolah menengah manakala 116 adalah merupakan calon persendirian.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, selain itu, seramai 22 calon SPM 2024 di negeri ini adalah berkeperluan pendidikan khas berdaftar di mana dua daripadanya melibatkan prosedur pindah tulis.
“Bagi calon kes khas, seramai dua calon akan menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung. Pada hari pertama ujian bertulis SPM 2024 ini, calon akan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1, Pendidikan Seni Visual Kertas 1 dan Bahasa Melayu Kertas 2,” katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad, di sini, hari ini.
Rose Aza berkata, seramai 279 petugas peperiksaan telah dilantik terdiri daripada lapan penyelia kawasan, 36 ketua pengawas, 36 timbalan ketua pengawas dan 155 pengawas serta petugas sukarelawan.
Katanya, dalam memastikan peperiksaan SPM 2024 berjalan lancar, Jabatan Pendidikan negeri telah mengadakan taklimat bersama agensi-agensi kerahan pada 22 Oktober tahun lalu untuk menyelaras tindakan sekiranya berlaku situasi luar jangka.
“Pelan bagi menghadapi situasi luar jangka seperti banjir dan sebagainya juga telah disediakan malah ia akan diaktifkan sekiranya perlu,” katanya.
Rose Aza berkata, pihaknya turut menyarankan agar setiap calon dan petugas SPM 2024 di negeri ini dapat menjaga kesihatan sepanjang peperiksaan berlangsung.
Ujar beliau, ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak masing-masing dan memastikan mereka menghadiri semua kertas peperiksaan SPM yang didaftarkan.
“Pihak sekolah juga disaran agar dapat menguruskan semua calon mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan memastikan pusat peperiksaan berada dalam keadaan baik,”.-UTUSAN