355 mangsa banjir dipindahkan di Kota Tinggi - Utusan Malaysia

355 mangsa banjir dipindahkan di Kota Tinggi

PPS SK Laksamana menempatkan mangsa banjir dari Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 355 orang daripada 124 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini susulan hujan lebat sejak pagi tadi mengakibatkan kediaman mereka dilanda banjir setakat pukul 10 malam ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, PPS di Dewan Kampung Baru Sungai Mas menempatkan seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota menempatkan 154 mangsa daripada 60 keluarga dari Taman Aman.

“Turut menempatkan mangsa di Sekolah Rendah Agama Bersatu (SRAB) (112 mangsa, 31 keluarga dari Taman Mawai) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana dengan 80 mangsa, 30 keluarga dari Taman Aman dan Taman Mawai.

“Empat PPS lagi, iaitu SK Bandar Penawar 1, Dewan Kampung Makam, Dewan Kota Kecil dan SK Teluk Ramunia sedang dikemas kini jumlah mangsa yang terjejas.

“Jumlah mangsa meningkat berikutan hujan masih berterusan di kawasan terbabit. Proses pendaftaran sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, paras air sungai di empat lembangan sungai direkodkan berada pada paras bahaya  iaitu Sungai Skudai di Kampung laut, Johor Bahru (4.16 meter), Sungai Tebrau di Taman Sri Pandan, Johor Bahru (2.51 meter), Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (2.63 meter) dan Sungai Jemaluang di Kampung Paya Dato’, Mersing (2.32 meter).

Hari ini Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya