PETALING JAYA: Sebanyak sejumlah 2,824 kes penipuan telefon direkodkan dengan kerugian dianggarkan bernilai RM142.07 juta sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kes tersebut membabitkan seramai 1,703 mangsa lelaki manakala 1,121 orang wanita.
“Mangsa yang paling ramai tertipu dengan penipuan telefon adalah berusia antara 21 hingga 30 tahun iaitu 1,133 individu diikuti 31 hingga 40 tahun (516 orang), 41 hingga 50 tahun (375), 61 tahun ke atas (310 orang), 51 hingga 60 tahun (270 orang) dan 15 hingga 10 tahun membabitkan seramai 220 orang.
“Susulan itu, JSJK telah melancarkan pelbagai operasi dan serbuan bagi menumpaskan jenayah ini dengan menahan seramai 1,320 individu bagi tahun 2024
“Kita juga berjaya menuduh 1,142 kes yang disiasat ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, analisis pihak polis mendapati modus operandi penjenayah dengan memanipulasi psikologi mangsa sebagai senjata untuk menipu sehingga mengakibatkan individu tersebut menyerahkan akses perbankan atau wang tunai.
“Selama bertahun-tahun, teknik yang digunakan adalah berkisar kepada permainan psikologi ini. Cuma jalan cerita sahaja yang ditukar sesuai dengan perkembangan semasa yang sedang berlaku.
“Siasatan turut mendedahkan sehingga kini, penjenayah masih menggunakan teknologi Voice over Internet Protocol (VoIP) dan aplikasi spoofing untuk menghubungi mangsa dan menutup jejak mereka dari dikesan,” katanya.
Menurutnya, VoIP adalah panggilan yang dibuat menggunakan Internet dan bukan talian telefon biasa seperti panggilan melalui aplikasi Whatsapp.
Jelasnya, teknologi spoofing pula disalahgunakan bagi membolehkan penjenayah menentukan atau menetapkan nombor telefon yang bakal terpapar pada telefon milik mangsa apabila panggilan dibuat.
“Ini sekaligus memudahkan mereka menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasa atau agensi kerajaan yang tertentu.
“Berpandukan kes-kes yang direkodkan pada tahun lalu, antara taktik digunakan penjenayah penipuan telefon adalah penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) iaitu sebanyak 24 kes melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1.9 juta.
“Pada tahun lalu , kita menerima beberapa laporan diterima berkaitan penyerahan barang berharga antaranya barang kemas, instrumen perbankan dan wang tunai yang dilakukan secara secara fizikal kepada pihak sindiket,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun hanya dengan meletakkan barangan berharga tersebut di tempat yang diarahkan dan tidak melibatkan pertemuan secara bersemuka namu ia memberi gambaran bahawa sindiket semakin agresif dalam melakukan penipuan.