2,824 penipuan telefon babit kerugian RM142 juta

2,824 penipuan telefon babit kerugian RM142 juta

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak sejumlah 2,824 kes penipuan telefon direkodkan dengan kerugian dianggarkan bernilai RM142.07 juta sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kes tersebut membabitkan seramai 1,703 mangsa lelaki manakala 1,121 orang wanita.

“Mangsa yang paling ramai tertipu dengan penipuan telefon adalah berusia antara 21 hingga 30 tahun iaitu 1,133 individu diikuti 31 hingga 40 tahun (516 orang), 41 hingga 50 tahun (375), 61 tahun ke atas (310 orang), 51 hingga 60 tahun (270 orang) dan 15 hingga 10 tahun membabitkan seramai 220 orang.

“Susulan itu, JSJK telah melancarkan pelbagai operasi dan serbuan bagi menumpaskan jenayah ini dengan menahan seramai 1,320 individu bagi tahun 2024

“Kita juga berjaya menuduh 1,142 kes yang disiasat ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, analisis pihak polis mendapati modus operandi penjenayah dengan memanipulasi psikologi mangsa sebagai senjata untuk menipu sehingga mengakibatkan individu tersebut menyerahkan akses perbankan atau wang tunai.

“Selama bertahun-tahun, teknik yang digunakan adalah berkisar kepada permainan psikologi. Cuma jalan cerita sahaja yang ditukar sesuai dengan perkembangan semasa.

“Siasatan turut mendedahkan sehingga kini, penjenayah masih menggunakan teknologi Voice over Internet Protocol (VoIP) dan aplikasi spoofing untuk menghubungi mangsa dan menutup jejak mereka dari dikesan,” katanya.

Menurutnya, VoIP adalah panggilan yang dibuat menggunakan Internet dan bukan talian telefon biasa seperti panggilan melalui aplikasi Whatsapp.

Jelasnya, teknologi spoofing pula disalahgunakan bagi membolehkan penjenayah menentukan atau menetapkan nombor telefon yang bakal terpapar pada telefon milik mangsa apabila panggilan dibuat.

“Berpandukan kes-kes yang direkodkan pada tahun lalu, antara taktik digunakan penjenayah penipuan telefon adalah penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) iaitu sebanyak 24 kes melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1.9 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramli memaklumkan sebanyak 48 kertas siasatan perlu dikendalikan pegawai penyiasat jenayah komersial secara purata dalam tempoh setahun.

Katanya, jumlah itu berdasarkan nisbah jumlah kertas siasatan yang dibuka tahun lalu iaitu sebanyak 41,701.

Menurutnya, angka itu jika dibandingkan dengan jumlah pegawai penyiasat bagi JSJK iaitu seramai 875 sekali gus menjadikan nisbah purata jumlah pegawai kepada kes, iaitu 1:48.

“Kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan setiap tahun, malah jika dibandingkan jumlah kes bagi tahun 2024, ia meningkat sebanyak 53.2 peratus berbanding lima tahun lalu, selain jumlah pegawai masih sama.

“Jumlah 48 kertas siasatan bagi satu tahun bukanlah satu angka yang ideal bagi seorang pegawai penyiasat, ini tidak termasuk kes-kes tahun sebelumnya dan penugasan lain yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya