2,522 terima dokumen pengenalan diri

2,522 terima dokumen pengenalan diri

Dokumen pengenalan diri
V. Papparaidu bergambar bersama penerima dokumen pengenalan diri masing-masing pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri MySel, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 2,522 pemohon memperoleh dokumen pengenalan diri masing-masing seperti MyKad, MyKid dan Sijil Kelahiran menerusi Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri My Selangor (MySel) sejak November tahun lalu.

Jumlah penerima itu adalah sebahagian daripada 6,545 pemohon yang membuat permohonan melalui program tersebut di negeri ini, sementara baki 4,023 lagi masih belum menerima kelulusan.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, kelulusan tersebut adalah secara berperingkat berdasarkan permohonan baharu dan lama yang diterima pihaknya menerusi Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

Menurutnya, terdapat permohonan yang memakan masa sehingga sembilan tahun kerana perlu berdepan proses yang rumit akibat ketiadaan dokumen-dokumen dikehendaki seperti pengesahan kelahiran serta buku rekod pemeriksaan kehamilan dan kelahiran (buku merah) dan sebagainya.

“Contoh bayi baru lahir kalau tak ada buku merah akan menyusahkan berbanding dapat dokumen yang lengkap. Bila ibu bapa gagal dapatkan surat beranak, kita boleh aturkan (bantu permohonan), tetapi kalau dokumennya tiada untuk kita proses (lampirkan), itu susah.

“Zero dokumen, kita hantar ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk buat ujian DNA, ia akan bantu pihak berkuasa dokumen yang sah, namun memerlukan masa yang panjang iaitu enam bulan sehingga setahun dan kos ujian DNA mencecah sehingga RM2,000,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri MySel, hari ini.

Tambah Papparaidu, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya memastikan anak yang lahir mempunyai dokumen bagi menyokong permohonan pendaftaran kelahiran serta menjamin masa depan mereka.

Daripada jumlah permohonan tersebut sebanyak 3,927 pemohon terdiri daripada perempuan dan 2,618 pula lelaki. Berdasarkan pecahan kaum, Melayu adalah paling ramai iaitu 2,825 pemohon diikuti Cina 1,718; India (1,634), Orang Asli (122) dan lain-lain (246).

Mengikut kategori dokumen pengenalan diri pula, 1,503 permohonan diterima bagi mendapatkan Sijil Kelahiran, 1,912 warganegara, 1,290 anak angkat, 1,297 MyPR, 55 orang kurang upaya (OKU) dan 488 urusan JIM.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Mellisa Chen, 50, memberitahu dia membuat permohonan dokumen pengenalan bagi anak angkat yang dijaga sejak berusia tiga tahun, malah pernah ditipu ejen sindiket sehingga kerugian RM25,000.

“Mak kandungnya berasal dari Indonesia, saya ambil jadi anak angkat. Sejak ambil dia saya usahakan untuk dapatkan Sijil Kelahiran lebih tujuh tahun, sekarang usia anak sudah 12 tahun. Tetapi bersyukur akhirnya peroleh Sijil Kelahiran dan MyKad, sebab saya percaya memang boleh,” tuturnya.

Bagi,seorang ahli perniagaan, Ooi Kwan Ping, 50, dia melahirkan rasa syukur kerana anaknya memperoleh dokumen pengenalan diri bagi membolehkannya pergi ke sekolah dan menikmati kemudahan sebagai warganegara.

“Saya berkahwin dengan isteri warga China pada 2018 kerana saya juga ada perniagaan di sana, namun selepas anak lahir, saya tak dapat daftarkan anak kerana alasan diberi saya berkahwin di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan di Malaysia. Sedangkan anak saya lahir di sini dan saya orang tempatan.

“Lebih lima tahun saya berjuang sehingga naik ke mahkamah bagi membuktikan hubungan suami isteri dan anak yang lahir hasil daripada perkahwinan kami termasuklah membuat ujian DNA. Akhirnya hari ini kerajaan bantu saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya