PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup lebih 21 juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM14.8 juta selepas menahan sebuah vesel nelayan asing di perairan Kelantan, kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, rampasan 105,250 karton rokok itu dilakukan di lokasi 31.5 kilometer dari Pengkalan Kubor dalam satu operasi, Sabtu lalu.
Katanya, vesel laut dalam yang diubah suai sebagai bot kargo itu tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 1.30 petang hari berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut membawa tujuh kru warganegara Thailand berusia antara 21 tahun hingga 47 tahun.
“Lima kru memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan empat daripada mereka positif dadah Methapethamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali, di sini semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemungkinan vesel berkenaan adalah pembekal rokok seludup yang bakal diangkut rangkaian penyelulup menggunakan bot pancung ke darat sebelum diedarkan di pasaran luar Kelantan.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Katanya, empat kru yang didapati positif dadah turut disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.