RAUB: Seramai 20,401 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mula menduduki peperiksaan bertulis di negeri ini yang dijadualkan bermula hari ini sehingga 6 Februari depan.
Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Amzan Abd. Malek berkata, kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan bertulis di 259 pusat peperiksaan membabitkan 229 sekolah.
“Calon terlibat merangkumi 17,282 calon Kementerian Pendidikan, 822 calon Maktab Rendah Sains Mara, 1,198 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 225 calon swasta, 751 calon persendirian dan 123 sekolah agama rakyat.
“Daripada jumlah itu, terdapat 134 calon berkeperluan khas dan terdapat empat calon yang menduduki peperiksaan di hospital,” katanya ketika meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di sini hari ini.
Menurut Amzan, pecahan calon mengikut lokaliti menyaksikan seramai 62 peratus menduduki peperiksaan di bandar dan 38 peratus luar bandar.
Katanya, calon terdiri daripada pelbagai kaum termasuk 598 calon Orang Asli yang menduduki peperiksaan di seluruh negeri ini. – UTUSAN