KUALA SELANGOR: Muafakat Nasional (MN) Parlimen Tanjong Karang akan menggerakkan 200 ahlinya menyertai perhimpunan solidariti bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin depan.
Pengerusinya, Zainal Abidin Abdul Samad berkata, semua individu itu terdiri dalam kalangan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Jelas beliau, solidariti itu memerlukan sokongan semua pihak kerana ia melibatkan isu rakyat.
“MN akan terus memperjuangkan prinsip keadilan dan semua individu berhak mendapat layanan saksama mengikut undang-undang tanpa dipengaruhi tekanan politik.
“Perhimpunan itu dianjurkan atas prinsip keadilan dan bukannya kepentingan individu. Kami akan bersama menyatakan sokongan terhadap Najib dalam menegakkan Perlembagaan,” katanya selepas sesi mesyuarat, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai sepucuk surat oleh Pas yang mengarahkan ahlinya berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan.
Surat dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang dan setiausaha sayap parti itu memaklumkan perhimpunan akan diadakan bermula pukul 9 pagi.
Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin depan bagi mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mengulas lanjut, kata Zainal Abidin, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan bas bagi kemudahan menyertai perhimpunan tersebut.
“Kita merancang menyediakan dua bas yang akan membawa penyokong hadir menyatakan solidariti masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN