KOTA TINGGI: “18 tahun saya menanti kehadiran Aieman dalam hidup kami dan tidak sangka dia pergi dahulu,” luah Masanah Buyong, 60 ibu kepada Aieman Azriq Ahmad, 22 antara empat yang maut dalam kemalangan melibatkan Toyota Vios dengan sebuah lori di Jalan Batu 3, Kota Tinggi semalam.
Kemalangan itu turut meragut nyawa isterinya Nur Fazilah Noor Azmi, 22, bayi mereka Aryan Khalif lima bulan serta rakan Mohd Rasyid Razali, 18.
Masanah berkata, Aieman Azriq yang merupakan anak nombor tiga dari empat beradik itu menetap bersamanya di Kampung Temenin Baru di sini.
Katanya, pada awalnya dia mendapat tahu kejadian itu dari kumpulan WhatsApp keluarga yang memaklumkan anaknya terlibat nahas.
“Seorang lagi menantu kemudian hubungi saya sambil menangis menyuruh saya ke lokasi kejadian. Saya dimaklumkan cucu saya juga meninggal dunia dalam kemalangan itu.
“Kali terakhir saya berjumpa anak, menantu dan cucu adalah kelmarin. Kehilangan mereka memang akan jadi kenangan pahit yang tidak akan dilupakan kerana mereka duduk bersama saya dan 18 tahun saya tunggu untuk dapatkan Aieman,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini.
Katanya, hasil perkahwinan arwah anak dan menantunya itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu sulung berusia tiga tahun dan adiknya, lima bulan.
“Anak sulung arwah memang rapat dengan saya dan suami kerana kami jaga dan dia memang suka buat panggilan video bila ibunya tiada di rumah. Saya tidak sangka sewaktu buat panggilan itu, mereka sudah kemalangan,” katanya yang memaklumkan jenazah tiga beranak itu disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin di sini.
Terdahulu, empat termasuk tiga sekeluarga maut apabila kereta Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori lima tan dalam kejadian di Jalan Batu 3, di sini semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Shahrulnizam Johari berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Terdapat empat orang mangsa iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki di dalam kereta dan seorang pemandu lori lelaki dewasa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulnizam berkata, pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat sehingga selesai dan pemandu lori hanya mengalami cedera ringan.