11 kanak-kanak GISBH belum dikenal pasti ibu bapa

11 kanak-kanak GISBH belum dikenal pasti ibu bapa

Kanak-kanak GISBH
MOHAMMAD Fahmi Ngah ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amat Tahun Baharu 2025 Menteri Besar Selangor dekat Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 11 orang kanak-kanak Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di Selangor yang diletakkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum dikenal pasti ibu bapanya.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, usaha mengesan waris sedang giat dilakukan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Seramai 200 kanak-kanak sudah pun pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira tiga minggu lepas dan kita ada senarai nama keluarga berkenaan.

“11 lagi pula akan tamat hak penjagaan mereka pada hujung Januari ini. JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ada kuasa untuk memohon kepada mahkamah untuk dapatkan hak penjagaan mereka bagi dua bulan lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Besar Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Kanak-Kanak mengenakan sembilan syarat yang diletakkan di bawah bon tanpa cagaran sebanyak RM500 sebagai jaminan untuk membebaskan kanak-kanak GISBH.

Seramai 41 kanak-kanak dibawa bagi menghadiri prosiding sebutan semula berhubung perintah hak jagaan sementara (IPO) terhadap 41 kanak-kanak berusia lima hingga 16 tahun yang dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada Khamis lalu.

Kemudian lebih 40 lagi kanak-kanak yang dikenakan IPO sebelum ini dibawa dalam prosiding sama pada keesokan harinya.

Mahkamah Kanak-Kanak mengenakan sembilan syarat yang diletakkan di bawah bon tanpa cagaran sebanyak RM500 sebagai jaminan untuk membebaskan kanak-kanak terbabit.

Jelas Mohammad Fahmi, kerajaan negeri mencadangkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memberikan bantuan zakat kepada anak dan bekas ahli GISBH menggunakan dana riqab.

“Dana riqab ialah elaun bulanan dengan mereka perlu menghadiri ke program pemulihan. Kita akan beri elaun itu secara bulanan untuk pastikan mereka hadir ke program tersebut.

“Kalau bagi sekali, kita khuatir mereka tidak akan hadir ke program ini jika dipanggil,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan meminta LZS memberikan hasil zakat asnaf kepada kumpulan itu untuk memulakan kehidupan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya