PASIR MAS: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita sebanyak 1 tan tepung gandum di sebuah premis di Kampung Gua Kuala Legal di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, di sini kerana didapati disimpan tanpa permit yang sah semalam.
Barangan kawalan itu disita KPDN Kelantan pada pukul 2.38 petang menerusi Operasi Tiris 3.0.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit menyimpan barang kawalan itu melebihi had kuantiti sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam lesen.
“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan telah menyimpan 6 tan tepung gandum melebihi had yang dibenarkan sebanyak 5 tan sahaja.
“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati melanggar undang-undang.-UTUSAN