PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida perlu membayar RM100,000 kepada PKR kerana didapati melanggar syarat bon parti itu.
Jumlah itu merupakan pengurangan daripada RM10 juta ekoran Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar jumlah itu kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti itu.
Perkara itu diputuskan oleh tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai terdiri daripada Hakim Datuk See Mee Chun.
Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian rayuan Zuraida selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan perayu membayar sebanyak RM10 juta kepada PKR.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.
Pada 2020, Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman itu mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.
PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.
Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, Zuraida yang dinamakan sebagai defendan tunggal bersama 10 Ahli Parlimen PKR lain telah mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bahagian Ampang dan kemudian membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti pembangkang BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang lain.
Sehubungan itu, plaintif mendakwa defendan telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, PKR mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang.