Zahidi sertai PKR, bantu beri nafas baharu PKR Perlis - Utusan Malaysia

Zahidi sertai PKR, bantu beri nafas baharu PKR Perlis

ZAHIDI Zainul Abidin (kanan) ketika ditemui selepas Program Sumbangan Prihatin Madani di pejabatnya di Beseri, Padang Besar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin kembali dalam arena politik dengan menyertai PKR sekali gus memberi jaminan akan membantu memberi nafas baharu dan menguatkan lagi parti itu dalam misi kembali menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penyertaan bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu juga mendapat restu daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan serentak dengan itu beliau telah memulakan gerakan dengan menubuhkan 400 ranting di seluruh Perlis.

Katanya, penubuhan ranting parti di seluruh negeri termasuk lebih 100 ranting PKR di Padang Besar itu bakal membantu mengukuhkan lagi kekuatan PKR di negeri ini.

“Buat masa sekarang, PKR ada sekitar 60 ranting di Perlis dan kita tambah 400 ranting supaya dapat menambah sokongan rakyat dalam meraih kemenangan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Sumbangan Prihatin Madani di sini hari ini.

Pada PRU15, Zahidi digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Padang Besar seterusnya bertanding atas tiket Bebas di Parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, namun tewas.

Zahidi sebelum ini menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal iaitu pada PRU 2013 dan 2018 malah beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dari 2021 hingga 2022.

Tambah Zahidi, beliau berhasrat membawa politik baharu bagi menarik sokongan pengundi Melayu buat PKR dalam membantu membela nasib rakyat di negeri ini.

Ujar Zahidi, sejak Perikatan Nasional (PN) mentadbir Perlis, tiada sebarang perubahan dilaksanakan khususnya dalam menjana pendapatan buat negeri bagi membantu rakyat.

“Kita lihat bahawa PKR-Pakatan Harapan (PH) ini sudah ada 90 peratus sokongan undian daripada bangsa Cina, tapi Melayu itu belum tentu lagi. Jadi kita akan usaha untuk tubuhkan sebanyak mungkin ranting dan tarik pengaruh pengundi Melayu untuk bersama PKR,” katanya.

“Perkembangan positif kerjasama antara Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di peringkat pusat juga bakal mewujudkan satu gerakan padu dalam merampas kemenangan negeri ini daripada PN.

“Kita lihat tak ada perpecahan berlaku di situ dan kalau dapat diteruskan, maka tak ada masalah untuk PH dan BN merampas Perlis pada PRU akan datang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya