YTL AI Labs lancar Ilmu 0.1

YTL AI Labs lancar Ilmu 0.1

Ilmu 0.1
LOU YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ilmu 0.1 dilancarkan hari ini oleh YTL AI Labs sebagai Model Bahasa Besar (LLM) yang dibangunkan untuk rakyat negara ini.

Pengarah Eksekutif YTL AI Labs, Lou Yeoh berkata, Ilmu 0.1 adalah pencapaian penting dalam negara ini mengatasi model LLM lain di peringkat global dalam Bahasa Malaysia.

“Ilmu 0.1 adalah kecerdasan yang benar-benar milik Malaysia. Ilmu 0.1 menunjukkan prestasi yang luar biasa dan pemahaman mendalam terhadap budaya dan konteks tempatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pelancaran Pejabat AI Kebangsaan oleh Kementerian Digital, hari ini.

Jelasnya, LLM Malaysia yang memahami Bahasa Malaysia serta budaya dan konteks tempatan adalah penting untuk memajukan aplikasi dalam semua industri termasuk kewangan, pendidikan, kesihatan, dan perkhidmatan awam.

“Ia juga berjaya lulus peperiksaan nasional, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Bahasa Malaysia, memperkukuhkan potensinya untuk menyokong pelbagai sektor dalam aplikasi dan kegunaan tempatan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, memberitahu Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hab AI bagi rantau ini dan dunia.

“Dengan membina infrastruktur dan ekosistem AI bertaraf dunia, kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah Negara AI dengan Awan AI Berdaulat dan LLM Berdaulat sendiri,” ujarnya.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) MITEC, sekali gus menandakan satu langkah besar dalam transformasi digital negara dengan fokus menjadikan Malaysia sebuah hab kecerdasan buatan (AI) serantau dan global.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kerangka ekonomi digital negara, yang dijangka menyumbang sehingga 25.5 peratus kepada KDNK dalam tempoh setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN