Warga emas kerugian RM2.2 juta ditipu ‘kekasih’ maya - Utusan Malaysia

Warga emas kerugian RM2.2 juta ditipu ‘kekasih’ maya

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas mengalami kerugian kira-kira RM2.2 juta selepas ditipu ‘kekasih’ alam maya yang dikenali selama tujuh tahun sejak 2017,

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima panggilan daripada akauntan berusia 67 tahun itu di Sabah yang mendakwa telah berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) di Facebook.

Katanya, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan dalam bidang pembekalan alatan perubatan di Singapura.

“Selepas sebulan berkenalan, hubungan mereka menjadi semakin rapat dan mula menjalinkan hubungan cinta secara maya.

“Lelaki tersebut kemudian mendakwa ingin berpindah ke Malaysia, namun memerlukan wang untuk kos pengangkutan dan mangsa bersetuju untuk membantu dengan membuat pembayaran berjumlah RM5,000 ke akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini hari ini.

Ramli berkata, suspek kemudiannya terus meminta wang dengan pelbagai alasan seperti masalah peribadi dan urusan perniagaan.

Jelasnya, mangsa telah membuat sebanyak 306 transaksi wang ke 50 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.2 juta.

“Siasatan mendapati sebahagian wang itu adalah hasil pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada November lalu selepas berkongsi cerita tersebut dengan seorang rakan dan laporan polis telah dibuat semalam,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Ramli, modus operandi utama sindiket menggunakan profil palsu, pengakuan cinta awal, permintaan wang atas pelbagai alasan dan keengganan bertemu secara bersemuka.

Dalam kes berasingan, menurutnya, seorang wanita juga telah mengalami kerugian sebanyak hampir RM2.5 juta selepas terperangkap dalam penipuan sindiket ‘love scam’.

Jelas beliau, mangsa yang berusia 57 tahun merupakan seorang pekerja swasta yang dilaporkan mula berkenalan dengan seorang lelaki warga England sekitar April lalu melalui laman sosial Facebook.

“Setelah berinteraksi selama dua minggu, lelaki tersebut mendakwa ingin datang ke Malaysia untuk bertemu mangsa.

“Bagaimanapun, drama bermula apabila mangsa dihubungi individu yang mengaku sebagai pihak kastam dan mendakwa bahawa mereka telah menahan lelaki itu kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM4.66 juta atau Dollar AS 5 juta.

“Bagi membebaskan lelaki itu, mangsa diminta membuat pembayaran untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia dan kedutaan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang percaya telah membuat 13 kali pindahan wang ke 13 akaun bank berbeza dan jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM2.47 juta.

“Difahamkan mangsa masih diminta untuk membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis pada 28 November lalu.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang sebenar sindiket ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya