Warga emas hilang: Anak yakin bapa tidak pergi jauh - Utusan Malaysia

Warga emas hilang: Anak yakin bapa tidak pergi jauh

ROSLINA Mohd. Mahat menunjukkan gambar bapanya, Mohd. Mahat Said yang hilang sejak 16 Disember lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Melintang, Kota, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Ahli keluarga kepada seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak petang kelmarin, yakin lelaki itu tidak pergi terlalu jauh dari rumah mereka di Batu 4, Kampung Air Melintang, Kota di sini.

Anak kepada bekas tentera itu, Roslina Mohd. Mahat, 39, berkata, ia berikutan keadaan fizikal bapanya,  Mohd. Mahat Said, 78, yang patah kaki kiri akibat kemalangan dua tahun lalu.

Jelas anak keempat daripada lima adik beradik itu, keadaan tersebut menyukarkan pergerakan bapanya yang perlu menggunakan kerusi roda.

“Bapa hanya akan mengensot sahaja jika tidak menggunakan kerusi roda, sebab itu saya yakin dia tidak akan pergi jauh dari rumah. Bagaimanapun, apa yang kami bimbangkan, sehingga ke hari ini, pencarian bapa kami masih menemui jalan buntu tanpa sebarang kesan.

“Saya harap sangat bapa akan segera ditemui kerana sudah masuk hari ketiga dia hilang. Mungkin dia dalam keadaan lemah kerana tidak makan dan tidak minum,” katanya kepada ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan Mohd. Mahat yang dilaporkan hilang sejak 16 Disember lalu turut menggunakan khidmat empat ekor anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam pada itu, Roslina memberitahu, bapanya disedari hilang oleh ibunya, Norlia Ahmad, 75, kira-kira pukul 10 pagi selepas pulang dari berniaga sarapan.

“Apabila balik ke rumah, emak lihat kerusi roda bapa sudah berada di tengah-tengah pintu rumah. Kami adik beradik cuba mencari di sekeliling kawasan sekitar namun tidak berjaya. Saya kemudiannya membuat laporan polis pada sebelah petang,” jelasnya.

Sementara itu, Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Idris berkata, pihaknya menumpukan kepada tiga sektor pencarian.

Menurutnya, dalam operasi hari ketiga yang turut melibatkan bantuan penduduk juga masih tidak menemukan sebarang petunjuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya