Wanita warga China didakwa bunuh rakan sekerja - Utusan Malaysia

Wanita warga China didakwa bunuh rakan sekerja

Yang Yahong,34, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerja di sebuah restoran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga China didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di sebuah restoran, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yang Yahong, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Mariqsa Khalizzan dalam bahasa Mandarin kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang juruwang warga China, Zhang Wei, 49, di Restoran Sichuan Zi Yi Hao, Sunway Velocity, Cheras pada pukul 4.30 petang, 29 November lalu.

Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak memberikan sebarang ikat jamin dan menetapkan 12 Februari 2025 bagi sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan bedah siasat serta forensik.

Pada 29 November lalu, seorang juruwang warga China maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali di sebuah pusat beli belah di Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, dalam kejadian antara pukul 3 dan 4 petang itu, mangsa yang berusia 49 tahun itu dipercayai ditikam kira-kira tiga hingga empat kali.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pada paru-paru sebelah kiri dan pendarahan.

Sehubungan itu, polis menahan tujuh individu yang merupakan rakan kerja mangsa bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya