KOTA BHARU: Seorang pembantu perawatan di sebuah klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang lelaki melalui aplikasi WeChat pada Julai lalu.
Tertuduh, Tasnim Amirah Abdullah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa menawarkan khidmat seks melalui aplikasi WeChat kepada seorang lelaki.
Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah bilik hotel di Tunjong di sini kira-kira pukul 6 petang pada 8 Julai lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari atau mendesak bagi maksud persundalan atau mana-mana maksud perbuatan lucah.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akmal Mohamad Bakri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin @ Abdul Hamid.
Terdahulu, Nurul Akmal tidak menawarkan sebarang jaminan atas pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Ariyani dalam rayuannya memohon Tasnim Amirah diberikan jaminan memandangkan tertuduh turut menjaga seorang abang yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 4 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.-UTUSAN