KLUANG: Seorang wanita ditahan di kediamannya di Kampung Tengah, di sini kerana disyaki mendera anak kandungnya, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru besar sebuah sekolah rendah di sini pada pukul 10.30 pagi, 28 November lalu tentang kejadian itu.
Pengadu memaklumkan seorang murid perempuan berusia 10 tahun disyaki telah disimbah dengan air panas sehingga melecur teruk pada bahagian belakang badan.
“Pengadu juga memaklumkan pihaknya telah membuat pemeriksaan lanjut terhadap mangsa dan mendapati satu kesan lebam pada bahagian kaki kanan, kesan lecur di kaki kiri dan pipi kiri lebam disyaki ditumbuk.
“Bertindak atas maklumat diberikan, kita telah membuat tangkapan ke atas seorang wanita berusia 32 tahun yang juga ibu kepada kanak-kanak tersebut pada pukul 12.15 tengah hari semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wanita tersebut kini ditahan reman selama enam hari hingga 8 Disember ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN