KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi menunaikan umrah bulan depan.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar dan meneliti permohonan peguam bela, Ashok Athimulan yang mewakili pasangan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin juga tidak membantah permohonan tersebut.
“Permohonan pasport dibenarkan bermula pada hari ini iaitu pada 31 Disember dan pemohon perlu mengembalikan pasport kepada mahkamah pada 15 Januari,” kata Hakim Rosli.
Terdahulu, peguam bela Ashok Athimulan memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua anak guamnya akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari untuk menunaikan umrah dan pulang ke tanah air pada 14 Januari.
“Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport sukar untuk melakukan tempahan dan sebagainya. Anak guam akan mengembalikan pasport kepada mahkamah pada 15 Januari hadapan,” kata Ashok.
Terdahulu, Wan Shaharuddin bertanya kepada pemohon iaitu Fadzarudin sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dilakukan sebelum atau selepas didakwa di mahkamah.
Fadzarudin memaklumkan perancangan ke tanah suci itu dilakukan selepas mereka didakwa di mahkamah.
Wan Shaharuddin kemudian memohon agar pasport kedua-dua pemohon perlu dikembalikan kepada mahkamah sebelum 22 Januari 2025.
Pada 5 Disember lalu, Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd . yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Kedua-dua telah tertuduh didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn. Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Vivy dan Fadzaruddin masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah telah menetapkan 22 Januari 2025 bagi sebutan semula kes.