PETALING JAYA: Cadangan menjenamakan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Universiti Pertanian Malaysia disifatkan kurang cermat malah ia akan menelan kos yang tinggi.
Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama), Norsyahriman Md. Arif berpandangan, sekiranya nama UPM dikembalikan kepada nama yang asal, pentadbiran universiti akan berdepan dengan kos yang tinggi.
Menurutnya, sebarang perbelanjaan yang dilihat tidak penting wajar dielakkan sama sekali dalam keadaan kewangan universiti yang tidak mengizinkan.
Norsyahriman turut menyeru anggota pentadbiran kerajaan dan ahli-ahli politik untuk berhati-hati dalam menyuarakan pandangan berkaitan UPM.
“Kenyataan yang tidak cermat boleh memberi kesan negatif terhadap usaha universiti melahirkan graduan cemerlang.
“UPM adalah milik rakyat Malaysia dan merupakan aset berharga negara. Pandangan atau komen yang tidak teliti boleh merencatkan usaha universiti dalam melahirkan anak bangsa dan graduan holistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan terhadap cadangan tersebut dan cadangan itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti berkenaan.
Pada tahun 1997, Universiti Pertanian Malaysia dijenamakan kepada Universiti Putra Malaysia bagi menjenamakan semua aktiviti pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan tanpa meninggalkan bidang pertanian.
Jenama ‘Putra’ tersebut membawa maksud “Pertanian Untuk Rakyat” yang telah dilancarkan sendiri oleh Sultan Selangor yang juga merupakan Canselor UPM di Istana Alam Shah pada
16 Mei lalu.