ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerima sumbangan zakat korporat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM550,000 menerusi Program Iqra’ TH 2024 yang berlangsung di sini hari ini.
Sumbangan itu merupakan amanah yang menjadi tanggungjawab Unimap untuk mengagihkan kepada pelajar yang memerlukan di universiti berkenaan.
Sumbangan zakat berkenaan bakal memberi manfaat kepada 1,100 pelajar universiti tersebut dengan masing-masing bakal menerima RM500 setiap seorang.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, pihaknya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak lembaga pengurusan Tabung Haji atas sumbangan zakat yang begitu bermakna.
“Sumbangan tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar-pelajar kami, tetapi juga menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus gigih menimba ilmu dan menggapai kejayaan.
“Sumbangan zakat ini bukan sekadar sebuah bantuan kewangan, tetapi merupakan manifestasi nilai murni Islam yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan umat.
“Ia juga menjadi contoh terbaik bagaimana institusi seperti Tabung Haji dapat memainkan peranan signifikan dalam membangunkan modal insan yang berkualiti melalui pendidikan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi Madani,” katanya pada Program Iqra’ TH 2024 di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, di sini hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Unimap berkenaan berangkat menyaksikan penyampaian sumbangan zakat tersebut.
Turut hadir ialah Pengarah TH Wilayah Utara, Datuk Mohammad Mokhzani Mukhtar mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TH, Pengarah TH negeri, Burhan Abd Rahman dan pengurusan tertinggi Unimap.
Tambah Zaliman, Unimap sentiasa berusaha untuk menyokong pelajar-pelajar, bukan hanya melalui pendidikan tetapi dengan memastikan mereka mendapat sokongan moral dan material yang mencukupi.
“Kami juga bertekad untuk terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga kaya dengan nilai moral dan etika sesuai dengan hasrat kita untuk membangun sebuah masyarakat yang sejahtera dan berdaya saing. Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada pelajar-pelajar yang menerima sumbangan agar memanfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya.
“Gunakanlah peluang ini untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan jangan lupa untuk sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan. Sesungguhnya, kejayaan anda bukan sahaja milik anda tetapi juga kebanggaan kepada keluarga, universiti dan masyarakat,” katanya.
Sebagai rekod, pada tahun 2022, Unimap telah menerima sumbangan zakat sebanyak RM600,000.00 daripada Tabung Haji manakala pada 2023 pula menyaksikan sumbangan sebanyak RM350,000.00.-UTUSAN