ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerima dana penyelidikan berjumlah RM23.6 juta bagi tahun 2024 yang merupakan nilai tertinggi pernah diterima universiti tersebut.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli memberitahu, jumlah itu merangkumi RM14 juta dana kerajaan, RM8 juta membabitkan industri, antarabangsa bernilai lebih RM1 juta dan RM600,000 dana universiti.
Katanya, Unimap turut mencatatkan antara penerima tertinggi bagi Skim Geran Penyelidikan Program Padanan Industri (IMaP) 2024.
“Ia membabitkan dana kementerian sebanyak RM6.5 juta dan dana industri sebanyak RM1.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM8 juta,” katanya pada majlis penghargaan penyelidikan dan inovasi 2024 di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimap, Prof. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Tambah Zaliman, seorang penyelidik Unimap, Prof. Dr. Azremi Abdullah Al Hadi juga telah diiktiraf dalam kalangan Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2024 oleh Akademi Sains Malaysia.
“Selain itu, enam penyelidik Unimap terdiri daripada staf dan seorang pelajar pasca siswazah juga telah berjaya disenaraikan antara World Top Scientists by Stanford University bagi kategori Career – Long & Single Year Citation Impact 2024.
“Kejayaan tersebut menunjukkan penyelidik Unimap bukan hanya diiktiraf di peringkat nasional malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat global,” katanya.-UTUSAN