SEREMBAN: UMNO tidak pernah menghalang mana-mana ahli dan pemimpin yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malahan berkata, tindakan pemimpin keluar dan masuk ke dalam parti itu juga bukanlah kali pertama berlaku.
“Itu terpulang kepada tuan punya diri, kalau dia merasakan bahawa UMNO tidak lagi mempunyai tempat buatnya, terpulang kepada dia. Kita tidak menyekat orang, ahli untuk ke mana-mana, ini bukan kali pertama pemimpin UMNO keluar parti.
“Ia perkara biasa, pergi dan masuk, terpulang kepada tuan punya diri jika merasakan UMNO bukan lagi tempat untuk meningkatkan kerjaya, terpulang, all the best to him,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan eSports Piala Tok Mat di Senawang di sini hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mengulas isu membabitkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilaporkan akan menyertai PKR.
Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menerusi kenyataannya baru-baru ini memaklumkan, belum membuat keputusan berhubung keahliannya dalam mana-mana parti walaupun pernah mengadakan perbincangan dengan PKR.
Perbincangan itu turut diakui oleh Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian menyatakan PKR mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana pemimpin untuk menyertai parti itu.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini perlu mempunyai unwritten undestanding berhubung perkara itu terutama untuk menjaga keharmonian dalam kerajaan.
“Saya harap parti-parti dalam Kerajan Perpaduan kita mesti ada satu yang orang kata unwritten understanding supaya tidak mengambil ahli parti kita ke parti masing-masing untuk menjaga keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.
“Ini merupakan perkara yang sensiitf dan sensitiviti antara parti itu perlu dijaga, jika tidak nanti ia akan meretakkan hubungan baik yang telah sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menegaskan, semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada ‘mencuri’ ahli atau pemimpin parti lain dalam gabungan itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan parti gabungan itu. – UTUSAN