UMNO Padang Besar bidas Zahidi

UMNO Padang Besar bidas Zahidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: UMNO Bahagian Padang Besar membidas kenyataan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendakwa kedudukan ketua dan timbalan ketua bahagian parti itu akan tergugat sekiranya beliau kembali bersama UMNO. 

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, kenyataan Zahidi dilihat seperti cuba mengelirukan ahli-ahli parti tersebut selepas beliau memilih bersama-PKR.

Menurutnya, jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Besar sedia ada yang dipilih sebelum ini sememangnya tidak akan berundur walaupun Zahidi kembali bersama parti itu.

“Tak timbul isu saya atau ketua bahagian akan lepaskan jawatan jika dia (Zahidi) kembali dan kenyataan dikeluarkan itu hanya akan mengelirukan ahli UMNO. Dan kalau pun dia diterima kembali bersama UMNO, tak semestinya kami kena berundur untuk bolehkan dia jadi ketua bahagian balik, kerana prosesnya perlu mengikut aturan,” katanya ketika ditemui di pejabat UMNO Padang Besar di sini hari ini.

Azizan mengulas kenyataan Zahidi yang mendakwa beliau memilih untuk bersama PKR bagi mengelakkan berlakunya lagi perpecahan di dalam UMNO.

Zahidi yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dilaporkan berkata, beliau memilih bersama PKR kerana menganggap penyertaan dalam parti itu lebih dialu-alukan, selain tidak mahu wujud lagi perpecahan dalam UMNO Perlis dan Padang Besar. 

“Nak panggil balik saya (sertai UMNO) susah sikit, untuk apa? Saya tidak mahu ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian yang ada fikir apabila saya sertai UMNO semula, mereka terpaksa berundur disebabkan kemunculan saya,” kata Zahidi.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, UMNO Bahagian Padang Besar merasakan kenyataan Zahidi itu merupakan satu cabaran memandangkan jawatankuasa parti itu telah bekerja keras khususnya selepas PRU15.

“Kenyataan yang diberikan olehnya itu atas dasar apa pun kami tak tahu kerana lepas PRU15, kami tak pernah berhubung kait politik dengannya sebab dia bukan lagi ahli parti,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan PKR, Azizan berkata, UMNO Bahagian Padang Besar tidak mempunyai sebarang masalah dengan parti itu biarpun dengan penyertaan Zahidi.

Tambahnya, UMNO Bahagian Padang Besar juga tidak akan mengadakan sebarang perbincangan bersama Zahidi selepas ini memandangkan beliau hanyalah ahli baharu dalam PKR.

“Saya rasa dia tak layak untuk bincang bab-bab politik kerana lebih baik bagi dekat pemimpin tertinggi parti di Perlis mengikut hierarki dan bukannya dia,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya