Ujian air kencing terhadap Zahnita kerana ada laporan berkaitan dadah - Utusan Malaysia

Ujian air kencing terhadap Zahnita kerana ada laporan berkaitan dadah

ZAHNITA WILSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis daerah ini menafikan ujian saringan air kencing terhadap bekas pelakon dan peragawati terkenal, Zahnita Wilson bagi tujuan membenarkan dirinya mendapatkan khidmat pengiring polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, sebaliknya, ujian tersebut dibuat berikutan terdapat laporan berkaitan dadah membabitkan wanita tersebut.

Tambahnya, membuat ujian air kencing dan mendapatkan perkhidmatan polis pengiring merupakan dua perkara yang berbeza.

“Dua perkara yang berbeza dan perlu diperjelaskan. Urin dibuat bukan disebabkan dia (Zahnita) minta bantuan polis untuk mengiring bagi melaksanakan perintah interim hak penjagaan anak, tetapi pada hari yang sama, ada laporan dibuat terhadapnya yang dia terlibat dengan dadah menyebabkan polis perlu untuk buat ujian air kencing bagi mengesahkan pengaduan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Wan Mohd. Zahari lagi, pihaknya ada memberi bantuan mengiring untuk keselamatan sahaja bagi mengelak berlaku pergaduhan.

“Tujuan dia datang ke balai adalah untuk minta bantuan iringan keselamatan dan pada masa tersebut juga sudah ada laporan tentang beliau ini terlibat dengan dadah,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan Zahnita mendedahkan diminta menjalani ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa sebelum mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suaminya pada Rabu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN